MENU

Pada 07 Mei 2015 bersamaan 18 Rejab 1436H, satu Karnival Walk With Me telah diadakan di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada jam 5.00 petang . Rakyat di negeri ini sekali lagi berpeluang untuk beramah mesra dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV menerusi program Walkathon D'Raja Kelantan (Walk With Me 2015) dengan tema "Kito Terima Kasih Demo". Karnival anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi kini memasuki edisi keempat dan dijangka dapat mengumpul seramai 25,000 peserta. Diketuai Sultan Kelantan sendiri, program ini melibatkan laluan sejauh enam kilometer bermula dari  Stadium Sultan Muhammad IV menuju ke jambatan Sultan Yahya Petra sebelum berakhir di stadium sama. Ketua Istiadat Istana Kelantan, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, program ini tidak melibatkan sebarang yuran pendaftaran, namun Tabung Bencana D'Raja Kelantan akan dibuka bagi membolehkan orang ramai menderma sambil beriadah. Sepanjang program berlangsung, orang ramai yang menderma RM10 bakal menerima kek coklat jenama Anis Moist manakala penderma RM100 ke atas pula bakal menerima baju T Walk With Me edisi terhad. Kutipan tabung ini akan disalurkan bagi membantu mangsa bah kuning. Antara aktiviti pengisian lain sempena program ini adalah pameran ‘bah kuning' oleh Muzium Kelantan, pameran kraftangan serta pertunjukan artis tempatan, Caliph Buskers. Peserta juga terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan seluruh Kelantan. Majlis Daerah Pasir Puteh juga turut menghantar peserta yang terdiri daripada kakitangan lelaki seramai 60 orang bagi memeriahkan lagi program tersebut. Tujuan utama diadakan program ini adalah bagi menggalakkan rakyat negeri ini mengamalkan gaya hidup sihat selain menjadi tarikan pelancongan negeri Kelantan.

wwm1